Pages

KONGSI DAN SEBARKAN ILMU

SENARAI BAHAN


Sabtu, 13 November 2010

DASAR-DASAR KERAJAAN

TUGASAN 2
KOMPONEN II: DASAR-DASAR KERAJAAN
Tugasan 2a

Semasa pemerintahan pihak British, sistem pendidikan vernacular yang telah dilaksanakan telah menimbulkan pelbagai masalah, khasnya masalah perpaduan negara. Oleh itu, perjuangan ke arah mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan telah dimulakan sejak merdeka melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1961), agar matlamat perpaduan negara dapat dicapai.

(i)          Huraikan strategi-strategi pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan yang dapat mewujudkan suatu masyarakat yang bersatu padu.

(ii)        Sebagai guru, huraikan peranan-peranan yang boleh anda laksanakan untuk menyumbang ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar anda.













(i)            Huraikan strategi-strategi pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan yang dapat mewujudkan suatu masyarakat yang bersatu padu.

Pengenalan:
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta  Pelajaran  1961 adalah berasaskan kepada Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) yang mana kedua-dua laporan ini menekankan aspek perpaduan negara dan penghasilan tenaga rakyat seperti yang dinyatakan dalam:-

“ Tujuan dasar pelajaran didalam negeri ini adalah bermaksud hendak menyatukan murid-murid dari semua bangsa didalam negara ini dengan menggunakan satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan serta-merta melainkan hendaklah dibuat secara beransur-ansur.”
                                                                                    (Penyata Razak, Perenggan 12)

“ Satu daripada kemahuan dasar pelajaran Persekutuan Tanah Melayu ini ialah mengubah corak Tanah Melayu. Kami berpendapat bahawa caranya supaya sempurna perkara ini ialah dengan jalan menyamakan sukatan pelajaran semua sekolah.”
                                                                                    (Penyata Razak, Perenggan 115)

“ Memeriksa akan dasar pelajaran Negeri Persekutuan Tanah Melayu yang ada sekarang dan mengesyorkan  sebarang perubahan kepadanya atau menyesuaikan dengannya yang mana wajib, dengan tujuan hendak menubuhkan satu peraturan pelajaran kebangsaan yang munasabah yang dapat diterima oleh rakyat didalam Persekutuan Tanah Melayu ini amnya dan dapat memenuhi kemahuan mereka serta menggalakkan kemajuan mereka sebagai suatu bangsa  didalam bidang kebudayaan masyarakat, ekonomi dan politik, dengan tujuan hendak menjadikan bahasa Melayu  itu bahasa kebangsaan  negeri ini dan dalam pada itu memelihara bahasa dan kebudayaan lain-lain bangsa yang ada didalam negeri ini.”
                                                                                    (Penyata Razak, Perenggan 1(a))

            Penyata Razak dengan jelasnya mengutamakan perpaduan Negara sebagai satu matlamat yang perlu dicapai. Ini bermakna bahawa unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan dijadikan teras pendidikan kebangsaan untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat di Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum. Oleh kerana masyarakat Malaysia  berupa masyarakat majmuk, maka konsep perpaduan dalam konteks negara ini perlu difahami sebagai satu proses yang mengutamakan perpaduan rakyat berbilang kaum selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara. Perpaduan yang diwujudkan mesti berupaya menangkis gejala-gejala yang boleh memecah belahkan rakyat seperti gejala perkauman, keturunan, ugama, bahasa, perasaan kedaerahan dan lain-lain lagi.
            Untuk mencapai matlamat perpaduan negara ini melalui sistem pendidikan, Penyata Razak telah menggariskan dua aspek utama, iaitu sistem persekolahan yang sama bagi semua dan kurikulum sekolah yang sama kandungannya dan bercorak kebangsaan. Oleh itu, bagi tujuan untuk menjamin pencapaian matlamat perpaduan melalui bidang pendidikan, maka kedua-dua aspek tadi perlulah diteliti secara lebih terperinci dengan memberi tumpuan kepada aspek berikut:-
·         Sistem Persekolahan
1.   Struktur masa persekolahan dan penjurusan
2.   Rancangan alih bahasa
3.   Peperiksaan yang sama
4.   Pengurusan dan pentadbiran secara berpusat
5.   Pengelolaan sekolah-sekolah swasta
6.   Peluasan dan penyamarataan peluang dan kemudahan pelajaran
·         Kurikulum
1.   Sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama
2.   Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan
3.   Buku-buku teks
4.   Pendidikan Sivik
5.   Pendidikan ugama, moral dan etika
6.   Pembentukan displin
7.   Kegiatan ko-kurikulum.

Kesan dari Penyata Razak ini, banyak perubahan-perubahan telah dibuat oleh menteri-menteri pelajaran Malaysia demi untuk mencapai perpaduan kaum. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah merupakan kemuncak manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang menyedarkan banyak pihak tentang betapa pentingnya perpaduan kaum di Malaysia.

Struktur masa persekolahan dan penjurusan.
            Menyeragamkan waktu persekolahan diseluruh Malaysia. Walau bagaimanapun pihak pengurusan sekolah masih boleh menambah waktu persekolahan mengikut keperluan dengan persetujuan pihak berkuasa. Penjurusan murid mengikut tahap pencapaian dilakukan agar pengajaran dan pembelajaran dapat dirancang oleh guru mengikut tahap murid-murid tersebut.

Peperiksaan yang sama.
            Semua murid diwajibkan mengambil peperiksaan yang sama dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia dipertanggungjawabkan untuk menjalankannya. Mengikut Akta Pelajaran 1961, Lembaga Peperiksaan adalah bertanggungjawab untuk mengendalikan peperiksaan-peperiksaan awam di Malaysia sama ada dikelolakan sendiri atau dengan kerjasama badan-badan peperiksaan luar negara.

Pengurusan dan pentadbiran secara berpusat.
            Sistem pentadbiran pendidikan negara ialah sistem pusat. Struktur pentadbirannya terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat negeri dan peringkat sekolah. Sekolah-sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) diletakkan dibawah pentadbiran satu bumbung. Walau bagaimanapun masih ada sekolah yang mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah yang mengurus sekolah tetapi tertakluk kepada pengurusan pusat.

Pengelolaan sekolah-sekolah swasta.
            Mengikut peruntukkan Seksyen 44 dalam Akta Pelajaran 1961, semua sekolah swasta mesti berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dengan syarat-syarat tertentu. Murid-murid disekolah swasta ini mengambil peperiksaan yang sama dengan murid-murid disekolah bantuan penuh kerajaan disamping peperiksaan-peperiksaan yang dianjurkan oleh sekolah itu sendiri.
            Murid-murid disekolah swasta disyaratkan supaya mengikuti kurikulum dan peperiksaan yang sama seperti mana yang diduduki oleh murid-murid disekolah bantuan penuh kerajaan seperti Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia. Disamping itu sekolah-sekolah swasta juga boleh menyediakan murid-murid untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan seperti berikut:
·         Sijil Perdagangan Malaysia
·         City and Guilds of London Institute
·         London Chamber of Commerce and Industry
·         Council of Legal Education of London

Sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama.
            Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang dapat membendung segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Dalam konteks Malaysia, kurikulum itu juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukunegara disamping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara. Murid-murid sekolah dari semua kaum dan lapisan masyarakat mengikuti kurikulum yang seragam, melalui sukatan pelajaran yang sama kandungannya, kegiatan luar bilik darjah yang sama, mengambil peperiksaan yang sama dalam bahasa penghantar yang sama iaitu Bahasa Malaysia.
            Bahasa Malaysia dijadikan satu matapelajaran wajib disemua peringkat dan jenis sekolah dan kelulusan dalam matapelajaran ini adalah syarat utama untuk mendapatkan kelulusan dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM sehingga sekarang. Dengan itu Bahasa Malaysia memainkan peranan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat dalam proses untuk mencapai perpaduan negara yang dicita-citakan.

Buku-buku teks.
            Buku-buku teks yang digunakan disekolah diselaraskan dengan terbentuknya Unit Biro Buku Teks di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran pada 15 Mei 1967. Unit ini berfungsi untuk menilai buku-buku teks bagi semua matapelajaran yang diajar disekolah rendah, dikelas peralihan hingga ketingkatan lima disekolah menengah. Selain memastikan ia mematuhi sukatan pelajaran, buku-buku teks itu juga hendaklah mematuhi kehendak dan kepentingan Rukunegara, ditulis dalam bahasa yang baik dan dipersembahkan mengikut prinsip pembelajaran yang berkesan. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Kebangsaan dikehendaki menggunakan hanya buku Kementerian Pelajaran yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, manakala Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Sekolah Menengah Kebangsaan (Ugama) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dibenarkan memilih satu judul daripada beberapa judul yang telah diperakukan.
            Untuk menjamin kualiti penilaian buku-buku teks, adalah diperakukan bahawa langkah-langkah diambil supaya Biro Buku Teks ini bebas sama sekali dari sebarang tekanan atau kuasa dalam urusan nya menilai buku-buku teks yang bakal digunakan disekolah-sekolah. Penghasilan buku-buku teks oleh penulis-penulis yang terlibat dalam pengurusan biro ini adalah dilarang sama sekali.

Pendidikan ugama, sivik, moral dan etika.
            Pendidikan Ugama Islam adalah diwajibkan kepada semua murid Islam yang berugama Islam. Akta Pelajaran 1961, Seksyen 36 (1), menentukan bahawa pendidikan Ugama Islam hendaklah diberikan kepada murid-murid Islam sekiranya terdapat 15 orang atau lebih disesebuah sekolah. Sementara Pendidikan Ugama Islam diwajibkan kepada semua murid Islam, pendidikan ugama lain tidak boleh dipaksakan kepada murid-murid lain yang bukan penganutnya kecuali dengan persetujuan bertulis daripada ibubapa mereka.
            Pendidikan Ugama Islam bertujuan mewujudkan masyarakat berdisiplin dengan nilai akhlak yang tinggi. Unsur disiplin dan nilai akhlak ini merupakan asas yang kukuh bagi membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, kerana Pendidikan Ugama Islam menanamkan nilai-nilai dan sikap hidup yang baik serta membentuk kelakuan yang bersopan santun dan hormat menghormati diantara satu sama lain.
            Objektif utama matapelajaran Sivik adalah untuk menyemai,menanam dan memupuk semangat cintakan negara, sifat bertimbang rasa dan toleransi, sikap berdikari,jayadiri dan semangat mahu dan sanggup memahami masalah-masalah masyarakat serta bersedia untuk bertindak dan melibatkan diri bagi menyelesaikan masalah-masalah itu. Sukatan pelajaran Sivik disemua sekolah adalah diasaskan kepada Rukunegara dan Perlembagaan Malaysia.






(ii)          Sebagai guru, huraikan peranan-peranan yang boleh anda laksanakan untuk menyumbang ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar anda.

JAWAPAN

Peranan yang boleh saya mainkan dalam menyumbang kepada semangat perpaduan di kalangan pelajar ialah dengan pembentukan disiplin dan kegiatan ko-kurikulum.

Pembentukan disiplin.
            Salah satu daripada matlamat pendidikan adalah melahirkan individi-individu yang berdisiplin. Mereka yang berdisiplin sedar akan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, institusi pendidikan dan sosial serta negara. Disiplin diri adalah penting dalam usaha kita mewujudkan satu masyarakat yang bertata susila, bersatupadu, demokratik, adil, liberal dan progresif.
            Disiplin seseorang murid bukan ditentukan oleh sekolah sahaja. Persekitaran dan masyarakat juga mempunyai pengaruh terhadap pembentukan disiplin seseorang murid. Masyarakat dan persekitaran murid diluar sekolah amat kuat pengaruhnya dalam pembentukan disiplin murid.
·         Disiplin dan Masyarakat
Untuk mewujudkan dan mengembangkan disiplin yang diingini dikalangan murid-murid, penglibatan ibubapa secara aktif adalah diperlukan. Hubungan yang rapat diantara sekolah dengan rumah dan masyarakat membolehkan  wujudnya hubungan timbal balik diantara guru dan ibubapa. Justeru itu kedua-dua pihak dapat berusaha untuk mengatasi masalah murid-murid secara bersama dan berkesan. Usaha ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG).
·         Disiplin dan Perpaduan Negara.
Disiplin dan perpaduan negara  merupakan faktor-faktor penting dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang dicita-citakan. Ini boleh dicapai dalam aktiviti perhimpunan mingguan yang diadakan disekolah dimana nyanyian lagu kebangsaan dan aktiviti menaikkan bendera adalah asas penting dalam pembentukan disiplin dan perpaduan negara serta menyemaikan perasaan cintakan negara.
·         Disiplin di Sekolah
Diperingkat sekolah, pelaksanaan dan penyerapan disiplin itu dilakukan dengan dua cara:-
1.    Dengan cara langsung – apabila disiplin dikenakan dari luar
2.    Dengan cara tidak langsung – apabila disiplin disemai dan dihayati.
Semenjak 1956 pihak Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan berbagai-bagai surat pekeliling mengenai peraturan-peraturan yang perlu dilaksanakan disekolah, namun konsep disiplin mengalami perubahan dari masa kesemasa. Pemansuhan hukuman dera adalah bukti perubahan ini. Perubahan ini mempunyai implikasi yang tersendiri apabila sikap sebilangan guru menganggap bahawa disiplin adalah tanggungjawab sebilangan guru sahaja. Ini adalah merbahaya dan merugikan kerana peraturan sekolah tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya jika seorang atau beberapa orang guru sahaja yang memikul tanggungjawab tersebut. Disamping itu ada juga guru yang kurang memberi sumbangan dalam pembentukan persekitaran pendidikan yang baik disekolah.

Kegiatan ko-kurikulum.
            Kegiatan ko-kurikulum adalah penting disemua peringkat persekolahan. Kegiatan ko-kurikulum dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, unit beruniform, kelab atau persatuan dan sukan. Semua murid diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu kelab atau persatuan dan mana-mana satu aktiviti sukan.
            Kegiatan ko-kurikulum yang dijalankan diluar bilik darjah adalah penting untuk menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan, bekerjasama dan bertolak ansur diantara murid-murid berbagai keturunan yang mempunyai latar belakang sosial dan ekonomi yang berbeza. Ia juga bertujuan melatih murid berdisiplin, berdikari dan berkemahiran dalam sesuatu bidang yang mereka ceburi.
·         Unit beruniform
Kegiatan unit beruniform disekolah adalah penting untuk menyemai sikap bertanggungjawab, berdisiplin, berdikari dan kecekalan dikalangan murid. Untuk meningkatkan minat dan penyertaan murid dalam unit beruniform ini, guru-guru juga dilatih dalam bidang ini.
·         Kelab dan Persatuan
Matlamat penubuhan sesebuah persatuan atau kelab adalah untuk menggalakkan murid-murid berkenalan sesama sendiri, memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan juga membolehkan murid mencapai kemahiran dalam sesuatu bidang atau hobi.
·         Sukan dan Permainan
Sukan adalah merupakan satu saluran yang berkesan untuk menanam semangat kesukanan, memupuk persefahaman serta perpaduan dikalangan murid
            Salah satu contoh program yang dilaksanakan ialah RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan). Ianya adalah satu program perkhemahan yang menghimpunkan perbagai bangsa untuk saling kenal-mengenal dan berinteraksi antara satu sama lain. Program ini dapat merapatkan hubungan dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama rakyat Malaysia.
            Kesimpulannya, Malaysia perlu mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu berteraskan kepada Rukunegara. Dalam masyarakat yang bersatu padu, setiap individu wajib mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia yang sanggup mengenepikan unsur-unsur perkauman yang boleh memecah belahkan masyarakat. Usaha berterusan dan sikap rakyat Malaysia sendiri adalah penting untuk mengekalkan perpaduan kaum yang telah wujud sejak sekian lama untuk kesejahteraan generasi yang akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...