RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
Mata Pelajaran : Ulum Syariah
Kelas : 1 Yakin
Tarikh : 28 Ogos 2008
Masa : 7.45 pagi – 8.45 pagi
Bilangan murid : 30 orang
Bidang : Akhlak
Tajuk : Adab terhadap ibu bapa dan orang tua
Kemahiran : Membaca, Mengingat dan menerapkan nilai
Pengetahuan sedia ada : Membaca tulisan Jawi
Hasil pembelajaran :
Aras 1: -menyebut dan mengamalkan adab bercakap dengan ibu bapa
-Sentiasa menghormati ibu bapa
Aras 2: menghafaz doa untuk kesejahteraan ibu bapa
Aras 3: membezakan tingkah laku beradab dengan tingkah laku yang
tidak bersopan terhadap ibu bapa
Penerapan nilai : Bersyukur, menghormati ibu bapa
Gabung jalin : Jawi, bahasa Arab dan moral
Bahan bantu mengajar : pita rakaman, kad gambar dan kad potongan doa
Kaedah pengajaran : Berpusatkan guru dan murid
LANGKAH | ISI PEMBELAJARAN | AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN | BAHAN BANTU MENGAJAR | CATATAN |
Pendahuluan (2 minit) | Membaca doa | - Guru membaca doa - murid-murid mengaminkan doa | -pelajar masih sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang simpan buku ke dalam beg, menulis dan bercakap dengan rakan. | |
Set induksi (3 minit) | Pelajar diperdengarkan dengan pita rakaman lakonan perbualan antara anak dan ibu. | - guru memasang pita rakaman. - murid-murid disuruh diam dan dengar dengan teliti apa yang dipasang oleh guru. - guru menguatkan bunyi pita rakaman supaya seluruh kelas boleh didengari. | Pita rakaman | Pelajar sudah mula memberi tumpuan apabila guru memasang pita rakaman. Mereka agak tertarik dengan peralatan guru. Seorang pelajar bertanya apa yang dipasang oleh guru. Dua orang pelajar pelajar minta kebenaran untuk keluar ke tandas. |
Langkah 1 (8 minit) | - Pelajar hendaklah beradab sopan dengan ibu bapa. - tidak meninggikan suara apabila berhadapan dengan ibu bapa. - berwajah yang ceria yang dengan ibu bapa. | - guru menerangkan kepada pelajar tentang adab-adab tersebut. - guru menunjuk gambar yang pertama. guru bertanyakan soalan kepada pelajar “tahukah kamu apakah yang pelajar ini katakan? - guru melakonkan dialog dalam gambar tersebut. Dialog: anak- “mak, izinkan saya pergi bermain” mak- “pergilah, tapi main kat padang je. jangan pergi tempat lain” -Guru menunjukkan gambar yang kedua. Guru melakonkan dialog gambar yang kedua. Dialog: mak - “tak payahlah keluar man. panas ni.” anak- “ala mak ni..orang tahulah jaga diri..mak tak payah nak sibuk” - guru menunjukkan gambar yang ketiga. - guru melakonkan dialog gambar yang ketiga. mak- “berseri je man hari ni...man nak kemana ni?” anak- “man nak tolong mak buat kerja. boleh tak mak?” guru mengaitkan ketiga-tiga gambar ini dengan adab sopan apabila berhadapan dengan ibu bapa. | Gambar: 1. pelajar bercakap dengan ibu bapa secara sopan. 2. pelajar mengherdik ibu bapa. 3. pelajar tersenyum kepada ibu bapa. | Beberapa orang pelajar mencelah bertanyakan tentang gambar apa yang dipegang oleh guru. Semasa penerangan diberikan oleh guru, sebilangan pelajar sibuk menceritakan kisah mereka masing-masing kepada guru. Guru mengarahkan mereka senyap tetapi masih ada pelajar yang tidak menghiraukannya. Ada pelajar yang berdiri dari tempat duduk mereka kerana ingin melihat gambar tersebut. Gambar yang diberikan oleh guru kecil dan tidak bewarna menyukarkan mereka untuk memberi perhatian. |
Langkah 2 (10 minit) | Aktiviti murid 1. latih tubi menyebut adab tersebut. 2. Doa kepada kedua ibu bapa: “ya allah, ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibu bapaku. rahmatilah kepada kedua-duanya sebagaimana mereka menjaga daku semasaku kecil” | Guru membahagikan kelas kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan diberikan satu gambar masing-masing. Guru menyuruh kumpulan 1 membacakan adab sopan sebagaimana dalam gambar secara beramai-ramai sebanyak tiga kali. Kemudian diikuti oleh kumpulan 2 dan 3 dengan langkah yang sama. Kemudian, guru menyuruh kelas memberitahu ketiga-tiga adab sopan itu secara serentak. Seterusnya, guru menunjukan kad potongan doa kepada ayah dan ibu beserta ertinya dalam bahasa melayu. Guru memperdengarkan bacaan daripada pita rakaman, pelajar ikut beramai-ramai. Kemudian guru menceraikan potongan doa tersebut dan mengagihkannya kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama dikehendaki membaca potongan doa yang diterima. Begitu juga dengan kumpulan kedua dan ketiga. Akhirnya guru menyuruh ketiga-tiga kumpulan mencantumkan doa-doa tersebut menjadi doa yang lengkap dengan seorang wakil tampil menyusun dipapan hitam. Guru menyuruh kelas membaca potongan doa yang telah dicantumkan di papan hitam. | - Kad Potongan doa dalam bahasa arab dan ertinya dalam bahasa malaysia. - kad imbasan adab-adab sopan. -pita rakaman bacaan doa. | -Kebanyakan pelajar bermotivasi dan menumpukan perhatian kepada topik pengajaran. -kad potongan doa kecil dan tidak berwarna. -pelajar berebut-rebut untuk menjadi wakil menyusun potongan doa dipapan hitam. -pelajar yang bersifat pemalu kurang melibatkan diri dengan aktiviti. -semasa guru mengarahkan supaya membacakan doa tersebut, bacaan mereka tidak sekata. Ada yang cepat, ada yang lambat. Ada yang tak baca langsung. Mungkin arahan guru kurang jelas. -pelajar yang hyperaktif akan cuba mendominasi setiap aktiviti menyebabkan guru terpaksa memanggil nama tertentu untuk menjawab soalan. |
Langkah 3 (3 minit) | - Menyanyi lagu | - guru memasang pita rakaman lagu sudirman bertajuk ayah dan ibu. - guru meminta murid mendengar lagu yang akan dipasang. - guru meminta murid menghayati lirik lagu. -guru meminta murid menyanyi bersama-sama. - guru menutup pita rakaman. -guru memberitahu betapa besar jasa ayah dan ibu dan sukar untuk kita membalasnya. - oleh itu, guru menasihati pelajar supaya menghargai mereka berdua selagi mereka masih ada di dunia. | - pita rakaman | -murid-murid kelihatan seronok dan menghayati senikata lagu tersebut. -sebaiknya guru menggunakan pendekatan multimedia (audio visual) untuk lebih berkesan lagi. |
Penutup (4 minit) | - Berdoa bersama-sama - lembaran kerja | -Seorang pelajar dijemput ke depan untuk menjadi imam doa. - imam baca, yang lain ikut. - kemudian guru menyuruh 2 orang lagi tampil untuk melakukan langkah ynag sama. - Kemudian, guru memberikan lembaran kerja berupa kertas berfotostat supaya pelajar menyiapkan kerja itu di rumah. kertas itu kemudiannya mesti ditampal ke dalam buku latihan. | -masa tidak mencukupi. Masa yang ada hanya sempat untuk seorang sahaja membaca doa tersebut. -selepas lembaran diberi, masih ramai yang bertanya : “buat dalam buku mana cikgu?, kena tampal dalam buku latihan ke cikgu?, buku latihan mana cikgu?, nak buat macam mana cikgu?” Mungkin penerangan guru kurang jelas dan bahasa tidak tepat. |
REFLEKSI KEKUATAN PENGAJARAN
- Banyak bahan bantu mengajar
Saya mempelbagaikan bahan bantu belajar agar pelajar merasa seronok untuk meneruskan pembelajaran mereka dan memberi sepenuh perhatian kepada pengajaran guru. Antara bahan bantu belajar yang saya gunakan ialah gambar, pita rakaman bacaan doa, pita rakaman nasyid, kad imbasan potongan doa dan pita rakaman lakonan perbualan antara anak dan ayah. Pavlov mengatakan bahawa pembelajaran berlaku akibat kaitan antara rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran. Bahan-bahan ini merupakan suatu alat perangsang untuk menarik pembelajaran.
- Pelajar seronok menyanyi
Menyanyi adalah sesuatu aktiviti yang menyeronokkan dikalangan pelajar-pelajar. Menyanyi memberi kesan kepada pelajar untuk peringkat yang berumur di kalangan 7 tahun. Saya cuba mengaplikasikan teori Thorndike yang mengatakan pelajar sepatutnya didedahkan dengan suasana yang menyeronokkan semasa aktiviti pembelajaran. Sesuatu yang menyeronokkan akan mendorong mereka untuk belajar dan terus belajar.
- Pelajar melibatkan diri dengan aktiviti yang dianjurkan
Semasa aktiviti menyusun kad potongan doa, ramai pelajar yang berebut-berebut untuk menyusun. Guru terpaksa memanggil nama tertentu untuk memastikan semua pelajar terlibat dalam aktiviti ini. Selepas mereka berjaya menyusun kad-kad tersebut, mereka diberi tepukan oleh semua pelajar. Pelajar yang salah susun tidak akan mendapat tepukan. Mengikut teori Thorndike, guru mesti memastikan pelajar diberi ganjaran dan motivasi yang dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan supaya pelajar mendapat pengalaman yang memuaskan dan terdorang untuk belajar. Teori ini ternyata berhasil apabila pelajar-pelajar saya asyik bertanyakan saya bila nak belajar lagi. Mereka mengharapkan pengalaman yang baik ini berterusan dalam pembelajaran mereka.
- Pelajar menumpukan kepada pengajaran guru semasa guru menunjukkan gambar-gambar tersebut.
Pada peringkat awal pembelajaran, pelajar-pelajar lebih terdorong untuk belajar sesuatu melalui objek. Mereka sukakan warna. Oleh sebab ini, apabila saya menggunakan gambar sebagak objek pembelajaran, mereka akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Menurut Gagne, pembelajaran isyarat penting untuk peringkat awal pembelajaran. Kanak-kanak 7 tahun ini adalah merupakan pelajar yang baru memulakan pembelajaran. Untuk itu, penggunaan objek adalah penting untuk membantu mereka memahami pelajaran.
REFLEKSI KELEMAHAN PENGAJARAN DAN CARA MENGATASINYA BERDASARKAN TEORI-TEORI PENGAJARAN
1. Pelajar suka menyampuk, mencelah dan mengadu hal semasa guru menerangkan tentang adab-adab sopan apabila berhadapan dengan ibu bapa.
Murid-murid suka menceritakan pengalaman mereka kepada guru dengan harapan guru akan memberi perhatian kepada mereka. Mereka akan berasa bangga apabila aduan mereka diberi perhatian. Tingkah laku seperti ini sedikit sebanyak mengganggu pembelajaran dan pengajaran. Menurut pendapat Skinner, pelajar perlu diberi sedikit peneguhan sama ada peneguhan yang bersifat positif atau negatif. peneguhan yang positif seperti pujian, wang, kata-kata perangsang, hadiah, token dan bintang bagi meneguhkan tingkah laku yang dikehendaki. Prinsip skinner yang boleh digunakan di sini ialah jangan teguhkan tingkah laku yang tidak di ingini. Apabila pelajar tidak mendapat apa-apa perhatian, lama-kelamaan dia akan menghentikan tingkah laku yang negatif. Ini untuk menghapuskan tingkah laku yang tidak diingini tersebut. Cara lain untuk mengatasinya adalah dengan memberi pujian kepada kumpulan pelajar yang didapati tidak bising dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran. Seterusnya, guru meminta tepukan diberikan kepada kumpulan tersebut. peneguhan ini akan diulang semula apabila guru mendapati pelajar mula hilang tumpuan. Dengan cara ini, pelajar akan menjaga diri masing-masing daripada mengadu hal.
2. Pelajar kerap minta kebenaran untuk pergi ke tandas.
Keadaan ini mengganggu pembelajaran dan pengajaran yang sedang berlangsung. Menurut teori Thorndike, kesediaan setiap pelajar penting sebelum proses menimba ilmu. Kesedian fizikal dan mental mestilah berada pada tahap yang sepatutnya. Pelajar yang mempunyai kesediaan psikomotor yang tinggi dari aspek keadaan fizikal dan pergerakan otot bersedia untuk tindakan jasmani dan aktiviti fizikal yang lebih sukar. Kesediaan afektif merujuk kepada kesediaan emosi dan minat terhadap sesuatu. Jika pelajar minat mata pelajaran ini, mereka akan lebih bersedia lagi. Jadi, sekiranya terdapat masalah-masalah yang tertentu, saya sepatutnya menyelesaikan masalah tersebut terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, saya sepatutnya memberi arahan kepada setiap pelajar supaya pergi buang air sebelum kelas saya bermula. Apabila pengajaran telah dimulakan, pelajar tidak lagi dibenarkan keluar. Perkara ini mestilah selalu diingatkan kepada pelajar agar mereka tidak lupa untuk bersedia sebelum kelas dimulakan.
3. Pelajar kurang memberi tumpuan semasa potongan doa ditunjukkan dan diajar kepada mereka. Mungkin kerana ilustrasi tidak menarik dan tidak berwarna.
Ini kerana, bagi pelajar yang baru mengenali sesuatu tulisan, ianya amat asing kepada mereka. Mereka masih tidak tahu membaca jawi. Mereka terpinga-pinga apabila kad imbasan ditunjukkan kepada mereka. Sebaik sahaja guru mengajar cara membaca, barulah mereka cuba mengikut bacaan berdasarkan kad imbasan tersebut. mereka cuba mengenal pasti antara bunyian tertentu dengan kad tertentu. Penyesuaian ini cuba dilakukan dengan minda mereka. Pelajar yang berada pada aras tinggi cepat melakukannya, manakala pelajar yang berada pada aras rendah akan mengabaikannya. Akibatnya mereka kurang memberi tumpuan kepada aktiviti ini. Antara penyelesaiaan yang saya gunakan di sini ialah dengan mengguna pakai teori Bruner. Mengikut beliau, guru perlu mengubahsuai kaedah dan strategi pengajaran mengikut tahap dan kebolehan pelajar. Untuk pelajar tahun satu, guru perlu banyak menggunakan bahan bantuan mengajar dalam bentuk gambar yang besar dan bewarna-warni. Guru juga perlu menyusun isi pelajaran daripada yang mudah kepada yang lebih susah. Jadi, saya mestilah membesarkan lagi kad potongan doa tersebut. Saya juga mesti mewarnakannya cantik-cantik. Warna juga mesti berlainan untuk kad yang berlainan. Sebagai tambahan, saya perlu meletakkan gambar pada untuk mengaitkan dengan bunyi yang disebut. Apabila pelajar melihat gambar mereka akan ingat bunyinya. Ini akan membantu mereka belajar dengan lebih baik lagi.
4. Pelajar bising semasa guru menerangkan arahan-arahan semasa melakukan aktiviti.
Menurut teori Skinner, guru boleh menggunakan prinsip diskriminasi untuk membezakan apa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. guru perlu mengajar pelajar membezakan antara peraturan dam maklumat yang lebih penting di sekolah. Apabila melihat guru besar di dewan, pelajar akan belajar untuk mendiskriminasi tingkah laku mereka dengan tidak membuat bising dan menunjukkan tingkah laku yang positif. Ini bermakna, saya perlu mengugut mereka untuk dibawakan kepada guru besar sekiranya mereka membuat bising dalam kelas.
5. Semasa aktiviti mencantum kalimah, pelajar berebut-rebut dan bising. Semasa aktiviti menyusun gambar, pelajar berlari-lari dan tidak terkawal. Mungkin arahan guru kurang jelas dan tidak difahami oleh mereka.
Teori Kohler menyarankan bahawa kebolehan mental (celik akal) terdapat pada manusia yang membolehkan pelajar mempelajari perkara-perkara baru. Pemikiran celik akal ini perlu di galakkan oleh para guru. Caranya, guru hendaklah menggunakan perbendaharaan kata yang jelas, mudah difahami dan dibantu dengan gambar, audio serta pengalaman langsung pelajar dalan pengajarannya. Perkara yang hendak disampaikan mestilah mudah difahami. Soalan dan rangsangan yang diberi, mesti sesuai dengan tahap kognitif dan perkembangan pelajar. Oleh sebab itu, saya sepatutnya memberikan arahan yang jelas secara ringkas dan mudah supaya mereka lebih memahami. Saya boleh menggunakan nombor 1, 2, dan 3 sebagai urutan arahan. Selain daripada itu, saya juga boleh menerima pakai teori pemodelan Bandura yang mengatakan pelajar belajar daripada peniruan. Bandura menegaskan bahawa guru menjadi role model kepada para pelajarnya. Oleh itu, guru mesti memastikan dia mempunyai tingkah laku dan perwatakan yang positif supaya pelajar dapat menirunya. Merujuk kepada masalah yang saya hadapi ini, saya boleh menunjukkan contoh bagaimana aktiviti itu harus dibuat. Saya mesti melakonkan terlebih dahulu agar pelajar betul-betul memahaminya. Ini akan dapat mengelakkan pelajar terkeliru dan melakukan aktiviti secara membuta tuli.
6. Pelajar bising apabila guru bercakap atau menceritakan sesuatu. mereka lebih berminat kepada gambar dan aktiviti.
Kohler mengatakan bahawa guru tidak boleh memberi terlalu banyak penerangan tetapi perlu memberi panduan dan bimbingan dalam proses pemikiran celik akal. Ini kerana pelajar-pelajar tahun satu belajar menggunakan objek dan warna. Mereka amat sukar bermain dengan bahasa. Sebab itulah bahasa yang guru gunakan mestilah jelas dan mudah difahami. Guru hendaklah mengelakkan menggunakan bahasa yang bombastik dan berbunga-bunga. Semasa menceritakan tentang perilaku baik antara anak dan ibu bapanya, saya boleh mengambil contoh salah seorang pelajar dalam kelas ini dengan menyebut namanya. Apabila menceritakan tentang adab kurang sopan antara anak dengan orang tuanya, saya boleh mengambil contoh pelajar yang tiada di dalam kelas tersebut. Secara tidak langsung, ini akan memberikan motivasi kepada pelajar yang disebut namanya oleh guru. Dia akan dilihat sebagai pelajar contoh kepada pelajar-pelajar lain. Kaedah ini juga ada kaitan dengan teori pembelajaran Humanis. Perasaan dan emosi pelajar adalah sangat penting dalam proses pembelajaran. Suasana pembelajaran mestilah kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. pelajar mesti berada dalam keadaan releks dan tidak tegang semasa belajar.
7. Pelajar kurang hormat kepada guru. Mereka tidak patuh arahan. Walaupun telah dimarahi, mereka akan mengulanginya lagi.
Untuk mengatasi masalah ini, saya rasa adalah lebih sesuai mengguna pakai teori Humanis yang dipelopori oleh Maslow. Menurut Maslow, guru hendaklah memahami setiap individu dan membina hubungan baik dengannya. Guru sepatutnya tahu setiap nama dalam kelas, tempat tinggal dan latar belakang keluarga pelajar-pelajar. Guru perlu mengajar dengan penuh kasih sayang. Jangan sekali-kali menengking dan menggunakan bahasa yang kesat kepada pelajar. Ini akan menjejaskan emosi mereka dan akan merubah tanggapan mereka terhadap guru. Sebelum memulakan kelas, saya hendaklah menanyakan khabar pelajar, siapa yang tidak hadir ke kelas dan kenapa mereka tidak datang. Saya hendaklah menunjukkan keprihatinan terhadap anak-anak murid saya. Dengan itu, akan menjadikan mereka lebih menghormati dan mendengar arahan-arahan saya.
KESIMPULAN
Dalam melaksanakan rancangan pengajaran, guru akan berhadapan dengan pelbagai masalah di luar jangkaan. Masalah yang timbul ini adalah berpunca daripada guru-guru atau murid-murid. Pelbagai karenah murid yang akan ditemui oleh guru sepanjang sesi Pengajaran. Guru yang cemerlang ialah guru yang mampu mengubah keadaan pembelajarannya. Guru ini akan sentiasa berefleksi dan akan mengulang-ulang proses ini untuk menambah baik pengajarannya. Teori-teori pembelajaran pelbagai mazhab boleh digabung jalin bersama-sama untuk mencari kaedah dan jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah pembelajaran tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan