JAWAPAN
Berdasarkan situasi dalam petikan di atas terdapat banyak contoh tingkah laku bermasalah yang berlaku dalam kalangan murid kelas 4 Melati. Tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku samada positif atau negatif, yang boleh menjejaskan keberkesanan dan kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran, khasnya di dalam bilik darjah.
Terdapat dua jenis tingkah laku bermasalah, iaitu tingkah laku bermasalah positif dan tingkah laku bermasalah negatif. Tingkah laku bermasalah positif merujuk kepada tingkah laku yang ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan pintar cerdas. Manakala tingkah laku bermasalah negatif merujuk kepada tingkah laku disruptif, distruktif dan bergantung.
Tingkah laku disruptif atau dikenali juga sebagai tingkah laku mengganggu. Ini merupakan tingkah laku bermasalah yang dapat menghalang kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Jenis-jenis tingkah laku mengganggu termasuk hiperaktif, perubahan yang melampau, kebisingan, pergerakan pelajar yang tidak perlu, mengganggu rakan sedarjah, gelak ketawa yang amat kuat dan keagresifan fizikal seperti tolak meolak atau tumbuk-menumbuk di dalam kelas.
Merujuk kepada situasi dalam kelas 4 Melati terdapat pelbagai contoh tingkah laku bermasalah negatif disruptif antaranya ialah Ahmad merupakan seorang murid yang nakal dan sering mengganggu kawan-kawan lain yang sedang belajar, Razali pula suka mengusik murid-murid perempuan, pasangan kembar Roslina dan Roslini yang selalu bergaduh, Amalina yang sering berdandan di dalam kelas dan akan menjerit bila diejek murid lelaki, Kamarul pula selalu membawa VCD lucah untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan, akhir sekali sebahagian besar murid-murid dalam kelas 4 Melati tidfak menghiraukan arahan dan teguran dari cikgu. Kesemua tingkah laku ini merupakan contoh-contoh tingkah laku bermasalah disruptif atau tingkah laku mengganggu. Biasanya, tingkah laku ini ditunjukkan oleh murid-murid yang lebih muda kerana mereka belum lagi matang. Selain daripada pelbagai faktor-faktor lain yang mempengaruhi murid-murid bertingkah laku mengganggu ini. Sebab itulah sering kali terjadi tingkah laku mengganggu ini di dalam kelas. Selain itu juga, contoh tingkah laku bermasalah disruptif dalam kelas 4 Melati juga dapat dilihat pada sebahagian besar murid-murid tidak menghiraukan arahan dan teguran cikgu Rozana di dalam bilik darjah. Keadaan ini menyebabkan suasanan kelas yang tidak teratur dan tidak terkawal.dan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.
Manakala tingkah laku bermasalah distruktif atau dikenali juga sebagai tingkah laku merosakkan. Tingkah laku merosakkan merupakan tingkah laku yang paling kerap terdapat di kalangan pelajar-pelajar yang berumur di antara 10-14 tahun. Sikap agresif meereka akan kelihatan dalam bentuk tingkah laku yang merosakkan. Jenis-jenis tingkah laku yang merosakkan termasuklah permusuhan nyata, vandalisme (iaitu merosakkan kerusi meja, peralatan dalam kelas dan sebagainya). Aktiviti kumpulan liar (tumbuk-menumbuk secara fizikal), menggugut guru, mencalar kereta atau motosikal guru, menconteng dinding bangunan sekolah dan sebagainya.
Tingkah laku bermasalah negatif yang terakhir ialah tingkah laku bergantung. Tingkah laku bergantung didefinisikan sebagai tingkah laku yang sangat berharap kepada orang lain, samada guru atau rakannya untuk membuat keputusan atau menjalankan tugasan. Murid-murid yang tergolong dalam tingkah laku bergantung ialah mereka yang menonjolkan pergantungan berlebihan, kebimbangan dan pengunduran diri. Ciri-ciri kanak-kanak yang mengalami tingkah laku bergantung iaitu tidak dapat berdikari, tidak ada pegangan atau pendirian yang tegas dalam kehidupan, takut mengambil tanggungjawab, mudah dipengaruhi oleh orang lain, mudah mengikuti percakapan orang lain, sangat peka kepada teguran dan kritikan orang lain dan mudah mengambil hati.
Manakala tingkah laku bermasalah positif juga boleh menjejaskan kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran. Beberapa tingkah laku bermasalah positif ialah ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan juga proaktif. Contoh berdasarkan situasi dalam kelas 4 Melati iaitu pasangan kembar Roslina dan Roslini yang saling bersaing dan bergaduh semata-mata untuk menarik perhatian guru dalam kelas. Kelakuan pasangan kembar ini menggambarkan sikap yang proaktif di dalam kelas. Mereka berdua saling bersaing cuba menonjolkan diri dalam pelajaran demi menarik perhatian guru di dalam kelas. Walaupun tingkah laku saling bersaing dalam pelajaran ini dilihat sebagai satu tingkah laku yang positif tetapi ia boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ditambah lagi apabila persaingan di atara pasangan kembar diselangi dengan perasaan denggi antara mereka berdua dan menyebabkan berakhir dengan pergaduhan di dalam bilik darjah.
Sebenarnya terdapat berbagai-bagai faktor yang menyebabkan terjadinya tingkah laku bemasalah negatif dan juga tingkah laku bermasalah positif ini di kalangan murid-murid dalam bilik darjah. Antaranya ialah keadaan fizikal bilik darjah yang kurang selesa boleh menyebabkan tingkah laku disruptif. Bilik darjah yang sempit menghalang pergerakan murid dengan bebas dan dtambah lagi dengan keadaan panas, dengan peredaran udara yang kurang baik serta terlalu ramai murid di dalamnya tidak kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan fizikal ini menyebabkan murid bising dan bergerak ke sana sini dalam bilik darjah akibat tidak selesa.
Selain itu juga, peranan guru itu sendiri juga merupakan faktor yang mendorong kepada terjadinya tingkah laku bermasalah ini. Masalah tingkah laku disruptif contohnya lebih ketara dalam bilik darjah yang kurang tegas disiplinnya. Guru yang kurang tegas dan kurang berinisiatif dan tidak pandai mengurus bilik darjah dan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menyebabkan murid-murid terdorong melakukan tingkah laku bermasalah. Contoh ini dapat dilihat di mana cikgu Rozana gagal dalam mengawal bilik darjah 4 Melati sehingga menyebabkan murid-murid tidak menghormati cikugu Rozana. Hal ini terbukti apabila murid-murid kelas 4 Melati tidak menghiraukan arahan dan teguran yang diberikan. Keadaan ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah terganggu. Selain itu juga guru menyumbang kepada berlakunya masalah tingkah laku bermasalah ini di mana penggunaan strategi dan teknik penyampaian pengajaran yang kurang menarik.
Guru menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang kurang sesuai dengan umur atau kebolehan pelajar. Dengan itu, ada pelajar yang yang tidak dapat mengikuti perkembangan pelajaran kerana tahapnya terlalu sukar. Ini menambahkan kegelisahan mereka. Ada juga guru yang menyampaikan pelajaran melalui ’chalk and talk’ dan ini membosankan pelajar. Oleh itu, murid akan mudah berasa bosan dan tidak mahu mengikuti pelajaran. Seterusnya, mereka menunjukkan tingkah laku yang disruptif seperti mengganggu kawan-kawan yang lain, membuat bising dan sebagainya di dalam kelas.
Mengikut pendekatan teori tingkahlaku, iaitu yang dipolopori oleh Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka mengaitkan perhubungan ransangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Setiap rangsangan menimbulkan tindakbalas dan pembelajaran yang berlaku akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman. Guru yang kurang daya inisiatif dari segi strategi dan teknik pengajaran akan gagal untuk menarik dan meransang minat murid-murid untuk mengikuti proses pembelajaran semasa di dalam bilik darjah. Di sini menunjukkan cikgu Rozana telah gagal dalam menarik minat murid-murid untuk mendengar arahan dan teguran semasa di dalam bilik darjah. Hal inilah yang menyebabkan murid-murid dalam kelas 4 Melati berasa bosan dan mengganggu kelas.
Begitu juga dengan ransangan dalam bentuk arahan guru semasa di dalam bilik darjah juga membawa kepada terjadinya tingkah laku bermasalah ini. Arahan guru yang kurang jelas, tidak mudah difahami dan suara yang kurang kuat boleh menyebabkan murid-murid berasa keliru dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Menurut Teori Tingkah Laku Behaviourisme, rangsangan dalam bentuk arahan guru telah gagal untuk menarik motivasi murid-murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Selain faktor guru yang menyebabkan berlakunya tingkah laku bermasalah, peranan keluarga juga memainkan peranan. Keluarga merupakan orang yang paling dekat perhubungan degan murid. Pengalaman daripada keluarga mempengaruhi perlakuan murid. Ibu bapa yang kurang meluangkan masa di rumah untuk anak-anak lantaran sibuk bekerja, begitu juga murid yang miskin juga kurang mendapat kasih sayang dari ibu bapa di rumah kerana adik beradik yang ramai mendorong terjadinya tingkah laku bermasalah ini di sekolah. Anak-anak yang tidak mendapat cukup perhatian di rumah selalunya cuba mendapatkan perhatian daripada guru di sekolah. Seseorang anak selalunya mendapat perhatian daripada ibu bapa apabila berkelakuan tidak senonoh. Jika mereka tidak mengganggu ibu bapa selalunya dia tidak diberi perhatian. Situasi ini menggalakkan mereka berkelakuan negatif dan tidak menggalakkan mereka berkelakuan positif. Murid ini beranggapan perlakuan tidak senonoh adalah cara untuk mendapatkan perhatian guru. Keadaan inilah yang terjadi di dalam kelas 4 Melati di mana Ahmad yang nakal selalu mengganggu kawan-kawan yang sedang belajar dan juga pasangan kembar Roslina dan Roslini yang saling bersaing dalam usaha menarik perhatian guru. Disebabkan cikgu Rozana tidak menyedari masalah ini maka mereka melayan dan mengganggu murid yang lain.
Faktor psikologi, sosial dan nilai diri pelajar juga merupakan salah satu punca masalah tingkah laku bermasalah. Ada di kalangan pelajar yang berasa seolah-olah dibenci kerana mereka merasa banyak kekurangan apabila memasuki sekolah yang mempunyai set peraturan yang berbeza antara sekolah atau alam sekitarnya yang jauh berbeza. Pelajar kurang dorongan dan kurang cita-cita untuk mengejar kejayaan dalam bidang akademik. Di dalam kelas, mereka kurang mendapat perhatian jika guru sudah ada pra-anggapan bahawa kelas ini atau pelajar ini bodoh, degil atau nakal dan sebagainya. Keadaan inilah yang berlaku di dlam kelas 4 Melati. Murid-murid dalam kelas tersebut yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga di tambah lagi dengan tahap pembelajaran yang lemah dan sering tidak membawa buku. Murid menyangka seolah-olah benci terhadap mereka dan reaksi mereka terhadap segala peraturan menyebabkan ingin memberontak. Kadangkala murid-murid tidak merasa puas hati apabila guru memuji dan mementingkan pelajar-pelajar yang berpakain kemas dan mempunyai buku teks yang lengkap.
Faktor media massa juga merupakan faktor yang tidak kurangnya dalam menarik tingkah laku bermasalah ini di kalangan murid-murid. Media massa seperti televisyen memainkan peranan yang besar yang mendorong murid-murid untuk meniru tingkah laku yang dipaparkan melalui kaca-kaca televisyen. Adegan-adegan ganas dan lakonan artis-artis yang melampau yang ditayangkan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kelakuan pelajar. Murid-murid pada tahap ini biasanya mudah mengikut dan meniru dengan apa yang mereka lihat. Tanpa kawalan dari ibu bapa semasa menonton dan membeli bahan-bahan bacaan berupa majalah-majalah telah mendorong pelajar bertingkah laku bermasalah di dalam bilk darjah. Hal ini terjadi kepada murid yang bernama Kamarul yang selalu membawa VCD lucah untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan di dalam bilik darjah.
Pengaruh rakan sebaya juga dapat mempengaruhi murid bertingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Nilai-nilai rakan yang negatif seperti malas, tidak bertanggungjawab, kurang menghormati orang lain dan tidak mematuhi peraturan akan mempengaruhi pelajar dalam kelas. Jika adanya pengaruh yang negatif akan turut mengikut perangai rakan-rakannya dan menimbulkan masalah tingkah laku bilik darjah.
Selain itu, faktor kesihatan diri pelajar itu sendiri juga turut mempengaruhi tingkah laku bermasalah ini. Pelajar yang sihat akan dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran guru. Ini berlainan dengan pelajar yang kurang sihat atau tidak sihat atau tidak cukup tidur atau rehat akan merasa resah dan rimas. Mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Keadaan ini menggangu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Terdapat juga pelajar yang kurang sihat kerana gangguan emosi disebabkan keadaan keluarga yang kurang harmonis akan menimbulkan masalah tingkah laku dalam bilik darjah.
Dalam mengatasi masalah tingkah laku bemasalah ini menjadi semakin ketara oleh itu langkah-langkah mengatasi haruslah segera diambil. Setiap pihak memainkan peranan dalam menangani masalah tingkah laku di kalangan murid-murid. Dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap dan minat murid dalam bilik darjah maka guru harus mengenali latar belakang murid dan mengkaji kebolehan dan minat mereka. Dengan ini pelajaran yang disampaikan sejajar dengan kebolehan dan minat, dengan ini komunikasi berkesan akan wujud. Guru harus memanggil nama pelajar semasa menyoal dan ini membentuk suasana yang mesra antara guru dengan pelajar . Disamping itu, penyampaian arahan dan pengajaran guru hendaklah jelas dan mudah diikuti oleh murid-murid agar mereka teransang dan tertarik untuk meneruskan proses pembelajaran.
Selain itu juga, kemahiran komunikasi yang berkesan haruslah dikuasai oleh guru-guru ini kerana, amalan komunikasi yang berkesan di dalam bilik darjah akan membawa hasil pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Untuk mengamalkan komunikasi berkesan dalam bilik darjah, guru harus menguasai kemahiran-kemahairan penggunaan kaedah dan teknik mengajar, khasnya teknik menyoal. Sebagai seorang penyampai ilmu pemgetahuan, guru dikehendaki berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan murid-muridnya agar dapat menyampaikan maklumat dengan berkesan. Guru yang mempunyai komunikasi yang berkesan ialah guru yang boleh bertutur atau menulis dengan jelas dan tepat. Kemahiran komunikasi ini membolehkan murid-murid mengikuti pelajaran yang diajarkan dengan lebih tepat. Guru hendaklah bertutur dengan intonasi yang sesuai agar tidak membosankan murid. Guru juga perlulah bersemangat tinggi dalam penyampaiannya. Penggunaan pergerakan fizikal, gerak isyarat dan memek muka semasa menerangkan sesuatu pelajaran akan memudahkan pemahaman dan menarik minat perhatian pelajar untuk terus mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Selain itu, tingkah laku guru yang membenarkan pelajar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti tetapi pada masa yang sama dapat mengekalkan disiplin bilik darjah. Guru perlu meransang pelajar untuk mengemukakan soalan-soalan dalam bilik darjah. Suasana bilik darjah akan lebih mesra dan tenang jika guru dapat menyelitkan humor dan unsur-unsur kecindan semasa proses mengajar dilakukan. Guru harus bersikap positif dan bertutur dengan bahasa yang baik serta bercakap tentang perkara-perkara yang baik dan benar. Guru seharusnya mengelak daripada mengkritik idea atau pendapat pelajar yang salah atau tidak tepat. Malah guru perlu memberi peneguhan positif dan cuba memperbaiki jawapan murid yang kurang tepat dan menggalakkan mereka mencuba lagi jika jawapan salah. Dengan ini, suasana sosioemosi bilik darjah akan lebih tenang dan relaks dan menggalakkan penglibatan murid secara aktif dan komunikasi guru dengan pelajar lebih terbuka. Oleh itu, dengan adanya kemahiran komunikasi yang berkesan di kalangan guru-guru menyebabkan murid-murid tidak terdorong ke arah melakukan tingkah laku yang bermasalah dalam bilik darjah.
Selain dari langkah menangani melalui kaedah kemahiran komunikasi guru dalam bilik darjah, guru juga boleh menggunakan kaedah pengurusan disiplin bilik darjah. Menurut James (Jun, 2005) yang telah mengemukakan Pendekatan Instruktional (Instructional classroom management approach) yang berpandangan bahawa pengajaran yang dirancang dan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan akan berjaya mengelakkan atau setidak-tidaknya mengurangkan masalah disiplin pelajar dalam bilik darjah. Peranan guru adalah untuk merancang dan melaksanakan pengajaran yang baik yang sesuai dengan keperluan dan minat pelajar atau dalam kata lain, pelajaran yang dapat memotivasikan murid. Guru juga hendaklah melaksanakan rancangan pelajaran dan mempelbagaikan kaedah mengajar dan menggunakan bahan bantuan mengajar utuk menarik perhatian dan minat pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran harus sejajar dengan kebolehan pelajar. Teknik pengajaran haruslah berpusatkan pelajar dan memenuhi keperluan-keperluan mereka. Aktiviti-aktiviti yang dirancang hendaklah menarik minat pelajar. Guru hendaklah memastikan pelajar sentiasa memenuhi masa dengan tugasan yang berfaedah agar mereka tidak berasa dan tidak menimbulkan masalah disipiln.
Dalam pengurusan disiplin dalam bilik darjah juga dapat dipraktikkan dengan memberi peneguhan kepada pelajar samada dalam betuk peneguhan positif atau peneguhan negatif. Peneguhan positif terdiri daripada memberi ganjaran, pujian, hadiah untuk hasil kerja pelajar dan supaya pelajar mewujudkan tingkah laku yang membina dan positif serta dikaitkan dengan perasaan kegembiraan. Mengubah tingkah laku dengan memberi ganjaran kepada tingkah laku yang diingini dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Penggunaan peneguhan yang sistematik boleh membentuk tingkah laku seperti yang dikehendaki. Tingkah laku menjadi kurang atau lemah jika tidak diikuti dengan pengukuhan.
Pemberian ganjaran dalam bentuk token ekonomi iaitu sesuatu simbol yang boleh ditukar dengan peneguhan lain yang disukai oleh pelajar contohnya 5 bintang boleh ditukar dengan sebatang pensel berjenama yang disukai oleh pelajar. Manakala perjanjian kontrak yang formal menyatakan dengan jelas apa yang diharapkan daripada pelajar dalam bentuk tingkah laku dan hasilan kerja serta ganjaran yang diterima jika mematuhi kontrak.. Melalui teknik menggunakan kad di mana kad pelajar akan dicop jika mereka mencapai tingkah laku sasaran yang ditetapkan. Kad yang sempurna dicop dan memenuhi syarat boleh ditukarkan dengan aktiviti yang menyeronokkan. melalui teknik hentian sejenak semasa proses pengajaran, guru boleh berhenti sejenak sekiranya pelajar menimbulkan kebisingan. Guru terus merenung ke arah pelajar dan biasanya pelajar-pelajar berkenaan akan berasa segan dan terus mengubah tingkah laku.
Pengurusan disiplin di dalam bilik darjah boleh dilakukan dengan teknik ‘Time-out’ di mana guru akan meletakkan pelajar yang menimbulkan masalah disiplin di sudut khas. Pelajar yang bermasalah tingkah laku akan terasa dia telah melakukan satu kesalahan. Selepas satu atau dua minit, dia akan ditanya secara perlahan samada sudah bersedia untuk kembali ke tempat duduknya. Selain itu, dengan mengasingkan pelajar yang bermasalah seperti pelajar yang hiperaktif boleh ditempatkan berhampiran meja guru dan dihadkan kawasan pergerakannya. Pelajar yang sentiasa mengganggu perhatian ditempatkan menghadap dinding atau meja karel disediakan untuk mengandang gangguan perhatian.
Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat berbagai-bagai tingkah laku masalah di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tingkah laku bermasalah ini adalah disebabkan oleh berbagai faktor yang menyebabkan berlakunya salah laku ini. Faktor fizikal bilik darjah, faktor persekitaran rumah dan juga faktor peranan yang dimainkan oleh guru itu sendiri semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu. berbagai cara dan langkah telah diambil dalam membantu guru dalam menangani masalah tingkah laku bermasalah di kalangan murid-murid di dalam bilik darjah dari terus menganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
a) peneguhan diberi
b) kemahiran secara berperigkat
c) penghapusan tingkah laku negatif
1. PAVLOV
a) belajar dalam kumpulan
b) menolong pelajar berasa yakin
c) buat rangsangan dan gerak balas
d) buat latihan
e) bagi motivasi
f) pastikan pelajar sudah bersedia untuk belajar
2. KOGNITIF-KOHLER
a) bahasa jelas dan tepat
b) soalan jelas dan contoh sesuai dengan tahap pemahaman pelajar
c) jangan banyak bercakap, tetapi bimbing pelajar
d) galakkan pelajar menyoal
e) mulakan pengajaran dengan topik mudah kemudian disusuli yang agak sukar
3. HUMANIS- MASLOW
a) perancangan awal penting
b) fahami setiap individu serta bina hubungan yang baik dengan mereka. Guru sepatutnya tahu nama dan tempat tinggal mereka.
c) buat pemulihan kepada pelajar yang lemah dan pengukuhan kepada pelajar yang pandai
d) mengajar dengan kasih sayang
e) jangan marah dan menengking pelajar
f) tekankan motivasi dalaman pelajar
g) pelajar membuat pembelajaran kendiri
4. SOSIALIS - BANDURA
a) guru sebagai role model
b) aktiviti simulasi dan main peranan
c) tunjuk contoh hasil kerja yang baik
d) rakan sebaya pelajar yang baik boleh dijadikan contoh
mohon share
BalasPadam