Pages

KONGSI DAN SEBARKAN ILMU

SENARAI BAHAN


Sabtu, 13 November 2010

JAWAPAN TUGASAN KISSM SOALAN 1B

TUGASAN 1
KOMPONEN I : PERINTAH-PERINTAH AM


Tugasn 1b

Cik Z seorang kerani di salah sebuah jabatan kerajaan sering menerima gangguan seksual dari salah seorang pihak pentadbirnya. Gangguan tersebut telah menimbulkan perasaan serba salah, terancam serta kesan-kesan negatif yang lain ke atas dirinya.


(i)            Berdasarkan Perintah Am Bab D Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatertib) dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 22 Tahun 2005, huraikan kategori dan bentuk perlakuan gangguan seksual yang dihadapi oleh Cik Z.


(ii)          Nyatakan tindakan yang sepatutnya diambil oleh ketua jabatan bagi mengelakkan gangguan seksual ini dari berlanjutan.











(i)            Berdasarkan Perintah Am Bab D Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatertib) dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 22 Tahun 2005, huraikan kategori dan bentuk perlakuan gangguan seksual yang dihadapi oleh Cik Z.

Gangguan seksual bermaksud sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Gangguan seksual boleh terjadi kepada lelaki atau perempuan dan tidak terhad kepada pegawai atasan ke atas kakitangan bawahannya sahaja. Ia juga tidak terhad kepada berlainan jantina, malah boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki atau perempuan terhadap perempuan. Ia merentasi jurang gender dan status.
Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu pertamanya gangguan seksual berbentuk ugutan dan keduanya gangguan seksual berbentuk ancaman terhadap ketenteraman peribadi.
Gangguan seksual yang berbentuk ugutan memberi kesan secara langsung kepada status pekerjaan seseorang. Sebagai contoh, di mana seseorang pegawai atasan yang mempunyai kuasa menentukan gaji dan pangkat, cuba mengugut pekerja bawahan memberi layanan seksual kepadanya. Jika pekerja bawahan tersebut tunduk kepada kehendak seksual pegawai atasan tersebut, faedah yang berkaitan dengan pekerjaan akan diperolehi. Sebaliknya pula jika pekerja bawahan berkenaan menolaknya, faedah itu akan dinafikan.
Gangguan seksual berbentuk ancaman kepada ketenteraman peribadi ialah tingkah laku seksual yang dianggap oleh mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan, tetapi tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan faedah-faedah pekerjaan. Walau bagaimanapun tingkahlaku itu menimbulkan suasana kerja tidak tenteram kepada mangsa yang terpaksa dialaminya untuk terus bekerja. Gangguan seksual di antara rakan sekerja adalah termasuk di bawah kategori ini. Begitu juga gangguan oleh pelanggan syarikat terhadap pekerja juga termasuk dalam kategori yang sama.
Antara tingkah laku yang diklasifiksikan sebagai gangguan seksual ialah; pertama, secara lisan iaitu gangguan termasuk kata-kata, komen, gurauan, usikan dan
bunyi yang bersifat seksual. Kedua, bahasa isyarat iaitu isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks serta tingkah laku mengurat yang berterusan juga dikategorikan sebagai gangguan seksual. Ketiga, secara visual iaitu menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berbentuk seksual serta mendedahkan tubuh termasuk berpakaian seksi. Keempat, secara psikologi iaitu gangguan secara psikologi ini boleh muncul dalam bentuk mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu secara berterusan untuk keluar bersama atau bercumbu. Kelima, secara sentuhan fizikal iaitu terdapat gangguan secara sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk,mencium dan serangan seksual seperti meraba.
            Keadaan seperti di atas adalah dianggap sebagai satu kesalahan di dalam perkhidmatan awam dan ianya boleh dikategorikan sebagai bentuk-bentuk gangguan seksual walaupun ianya dilakukan secara gurauan. Ini kerana kemungkinan perbuatan tersebut akan menimbul kesan yang mendalam dan trauma kepada seseorang individu seperti Cik Z. Sesuatu perlakuan boleh dianggap sebagai gangguan seksual menurut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, (“Peraturan Pegawai Awam ).
            Kesimpulannya, sebagai penjawat awam seharusnya memahami, akur dan melaksanakan segala etika perkhidmatan dan peraturan-peraturan yang telah dibuat demi memastikan urusan kerja berjalan dengan lancar dan memuaskan.


(ii)          Nyatakan tindakan yang sepatutnya diambil oleh ketua jabatan bagi mengelakkan gangguan seksual ini dari berlanjutan.

Antara langkah-langkah yang patut diambil oleh ketua jabatan bagi mengelakkan ganguan seksual ini daripada berlanjutan ialah dengan menggalakkan mangsa untuk tampil ke hadapan melalui polisi dan prosedur laporan yang kukuh, tersebar luas dan disokong sepenuhnya. Penerangan mengenai polisi organisasi berkaitan dengan gangguan seksual perlu diperjelaskan berulang-ulang setiap masa bagi mengekalkan tahap kesedaran yang tinggi di kalangan kakitangan organisasi. Siasatan terperinci perlu dilakukan secara adil dan menyeluruh supaya tiada pihak yang dianiaya dan teranaiaya. Ini memerlukan bukti-bukti yang menyokong kes perlu jelas dan nyata.
            Selain daripada itu, ketua jabatan sentiasa membuat program yang bersifat mendidik dan melatih pekerja pada semua tahap tentang langkah-langkah mencegah gangguan seksual, mengenal pasti bahawa pekerja sokongan dan penyelia serta pengurus peringkat atasan memerlukan bentuk-bentuk latihan yang berbeza. Di sini ketua jabatan akan menerangkan batas-batas pergaulan antara golongan lelaki dan wanita disamping menekankan isu-isu moral dan seterusnya menjelaskan kepada kakitangan  tentang kesan yang akan timbul sekiranya keadaan ini berlaku.
            Seterusnya ketua jabatan juga hendaklah mewujudkan dan memelihara suasana tempat kerja yang kondusif dan bebas daripada perlakuan gangguan seksual ditempat kerja. Sebagai contoh dengan mengamalkan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak terlalu melampau dalam pergaulan lelaki dan perempuan.
            Ketua jabatan juga perlu kelakkan saluran komunikasi tidak formal secara terbuka. Ini termasuklah prosedur laporan secara formal dan tidak formal. Oleh itu, ahli organisasi dan pengadu mempunyai lebih banyak pilihan dan pendekatan untuk melaporkan kejadian gangguan seksual. Tegaskan kepada semua pekerja daripada pelbagai peringkat tentang bahayanya ganguan seksual dan kesan-kesan buruk yang bakal berlaku di tempat kerja. Ketua jabatan yang prihatin tentang masalah ini akan memberi amaran kepada pihak yang cuba melakukan ganguan seksual agar menghentikan tindakan mereka atau dikenakan hukuman tertentu.
Tindakan dan hukuman yang sewajarnya perlu diambil untuk menyekat pelaku ini daripada terus melakukan gangguan seksual di tempat kerja sehingga mewujudkan persekitaran kerja yang penuh dengan ancaman. Antara tindakan-tindakan yang perlu diambil termasuk: (a) Amaran secara lisan, (b) Amaran secara bertulis, (c) Tempoh percubaan pemulihan akhlak, dengan gaji atau tanpa gaji, (d) Penurunan pangkat, (e) Penukaran kerja, (f) Penyingkiran dari pada organisasi.
            Kesimpulannya, pelbagai cara dan tindakan yang perlu boleh diambil oleh ketua jabatan yang prihatin demi memastikan jabatannya bersih daripada gejala-gejala yang akan menjadi virus kepada kelangsungan organisasinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...